- Laman Utama
- Umum
- Keahlian
- Aktiviti
- Info DPMM
- Direktori Ahli
- Hubungi Kami
- Arkib
- Iklan

Pahang proaktif rangka Pelan Dasar Ekonomi Negeri

KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang mengambil pendekatan proaktif dalam merangka Pelan Strategik Ekonomi Negeri Pahang 2012 hingga 2015 iaitu pelan strategik untuk membangunkan ekonomi negeri.
   
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata pelan strategik itu merangkumi perancangan strategik dalam membangunkan ekonomi, hala tuju dan sasaran utama kerajaan negeri dalam bidang ekonomi.
   
"Kerajaan negeri telah menjalankan sesi percambahan fikiran dan perbincangan dengan agensi-agensi lain dalam usaha ke arah pembangunan ekonomi Pahang secara bersepadu dan menyeluruh," katanya pada persidangan ketiga penggal kelima Dewan Undangan Negeri Pahang, di sini, hari ini.
  
Menjawab soalan Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Padang Tengku) berkenaan perancangan pelan pembangunan ekonomi negeri Pahang, Adnan berkata kerajaan negeri melalui Bahagian Perancang Ekonomi Negeri, Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang (BPEN) telah mengadakan Mesyuarat Majlis Penasihat Ekonomi negeri Pahang (MPEN) buat kali pertama pada Julai 2012 dan akan diadakan secara berkala empat kali setahun.
   
"Selain di peringkat negeri, BPEN turut menjadi perintis dalam usaha memantapkan kerjasama antara agensi di peringkat negeri dan persekutuan melalui Mesyuarat Perhubungan Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri Pahang.
  
"Tujuan pelaksanaan mesyuarat itu adalah untuk mewujudkan penyelarasan perancangan pembangunan sosio-ekonomi antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri," katanya.
   
Menjawab soalan Datuk Mohamed Jaafar (BN-Jenderak) berkenaan kegiatan penanaman padi di Pahang secara sistematik, Adnan berkata terdapat 14 lokasi sawah di beberapa daerah di Pahang menjalankan aktiviti penanaman padi secara sistematik melibatkan keluasan 2,262 hektar.
   
Menteri Besar berkata daerah Pekan masih menjadi pengeluar utama padi di Pahang iaitu sebanyak 55 peratus melibatkan kawasan seluas 1,246 hektar yang diusahakan usahawan tani, syarikat swasta dan juga agensi kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian.
   
"Jabatan Pertanian Pahang telah menyediakan program Pengembangan Teknologi Tanaman Padi bagi memberi sokongan dan bantuan kepada para pengusaha padi meningkat taraf ekonomi mereka," katanya.
   
Beliau berkata kerajaan juga menyediakan insentif meningkatkan hasil padi berupa bantuan dalam bentuk input pertanian serta baja, racun serta pembajakan tanah bernilai RM2,219 bagi setiap hektar.Adnan berkata seperti yang telah diumumkan dalam bajet 2013, kerajaan Persekutuan bersetuju menjadikan kawasan sawah di daerah Pekan dan Rompin sebagai Jelapang Padi Negara yang baru dan bantuan bakal diberikan dalam bentuk infrastruktur seperti sistem pengairan serta kemudahan lain yang bersesuaian," katanya.
   
Sementara itu, persidangan dewan negeri diberitahu lebih 3,000 kes pecah rumah dilaporkan di Pahang bagi tempoh tiga tahun membabitkan kerugian lebih RM25 juta.
   
Bagaimanapun, Adnan berkata berkata polis dapat menyelesaikan sebanyak 40.31 kes pecah rumah di siang hari, manakala bagi kes pecah rumah di malam hari, sebanyak 41.92 peratus kes diselesaikan.
   
Beliau berkata, bagi tempoh 2010 hingga 2012, jumlah kes pecah rumah siang hari ialah 878 kes membabitkan kerugian RM6.6 juta manakala kes pecah rumah malam hari ialah 2,602 kes membabitkan kerugian RM19.3 juta.
   
Menjawab soalan Wan Salman Wan Ismail (BN-Jengka) berkenaan kes pecah rumah di Pahang yang dilihat semakin membimbangkan, Adnan berkata indeks jenayah berkenaan dilihat meningkat kerana ia turut mengambil kira kecurian membabitkan kehilangan motosikal termasuk basikal dalam kes pecah rumah itu.  - Bernama

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pahang
Jalan Teluk Sisek, 25100 Kuantan, Pahang Darul Makmur.
09-5142112

admin@dpmmpahang.com.my