- Laman Utama
- Umum
- Keahlian
- Aktiviti
- Info DPMM
- Direktori Ahli
- Hubungi Kami
- Arkib
- Iklan

Perhimpunan Usahawan Bumiputera 2013 kemuka enam resolusi kepada PM

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Usahawan Bumiputera 2013 yang dianjurkan buat julung kalinya hari ini mengemukakan enam resolusi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk dipertimbangkan sebagai satu daripada langkah memperkasakan usahawan Bumiputera di negara ini.

Pengerusi perhimpunan itu, Khairy Jamaluddin, berkata keenam-enam resolusi itu dicapai sebulat suara dari lebih 3,000 usahawan Bumiputera dari seluruh negara pada bengkel yang diadakan sempena perhimpunan itu di Pusat Konvensyen Sime Darby, di sini.

Khairy, yang juga Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), berkata resolusi pertama ialah mengesa kerajaan menambah peruntukan dana dan menyediakan pembiayaan yang bersepadu serta berinovasi berdasarkan kepada keberhasilan untuk membangunkan program graduasi usahawan bagi melahirkan usahawan yang mampu bersaing di peringkat global.


Resolusi kedua pula ialah menggesa kerajaan agar dapat menyediakan mekanisme yang memudahkan urusan usahawan Bumiputera dengan agensi sokongan dengan menekankan kepada pengurangan birokrasi dan peningkatan akses di samping meningkatkan jaringan kerjasama sesama agensi.

"Bagi resolusi ketiga pula kita mohon kepada kerajaan untuk memberi sokongan kepada usaha memperkukuh jaringan perniagaan dan solidariti di kalangan komuniti usahawan Bumiputera dan agensi bagi mewujudkan aktiviti rantaian bekalan yang lebih kukuh," katanya semasa berucap pada perasmian Perhimpunan Usahawan Bumiputera 2013 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri.

Bagi resolusi keempat pula, Khairy berkata, para peserta meminta kerajaan supaya memperluaskan peluang perniagaan usahawan Bumiputera melalui dasar perolehan yang lebih peka kepada usahawan Bumiputera selain program sokongan pemasaran di peringkat antarabangsa.

"Kami juga menggesa kerajaan supaya dapat menyediakan infrastruktur yang lebih lengkap bagi menepati kehendak projek dan keperluan para usahawan seperti menaik taraf inkubator.
"Bagi resolusi terakhir, kami menggesa kerajaan supaya meningkatkan sokongan kepada usahawan Bumiputera dalam usaha pembangunan modal insan, khususnya untuk membantu usahawan membangunkan kemahiran pengurusan perniagaan melalui peluang latihan dan program bimbingan," katanya.

Khairy kemudiannya menyerahkan resolusi itu kepada Najib sambil disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Pada majlis itu juga, ketua agensi yang terbabit seperti PUNB, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Amanah Ikhtiar Malaysia telah melafazkan bai'ah antara lain bagi mewujudkan jaringan kerjasama berteraskan perkongsian maklumat dan amalan terbaik. - BERNAMA
Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pahang
Jalan Teluk Sisek, 25100 Kuantan, Pahang Darul Makmur.
09-5142112

admin@dpmmpahang.com.my