- Laman Utama
- Umum
- Keahlian
- Aktiviti
- Info DPMM
- Direktori Ahli
- Hubungi Kami
- Arkib
- Iklan

Dana tambahan RM600 juta bantu usahawan Bumi

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan memperuntukkan RM600 juta dalam usahanya memperkasakan lagi usahawan-usahawan Bumiputera, sekali gus melonjakkan penglibatan mereka ke arena global.
   
Ketika mengumumkan dana tambahan itu, Perdana Menteri berkata, RM400 juta akan dikendalikan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU).
   
"Sebanyak RM100 juta akan dikendalikan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk pembangunan korporat bagi pertambahan ekuiti Bumiputera," katanya sebelum merasmikan Perhimpunan Usahawan Bumiputera 2013 di sini hari ini.
   
"Sementara itu, RM100 juta akan diberi kepada Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) bagi membantu usahawan Bumiputera mendapat lokasi strategik di pusat membeli belah ternama bagi memasarkan jenama antarabangsa," katanya ketika menyampaikan amanat pada majlis Perhimpunan Usahawan Bumiputera 2013, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) yang juga pengerusi perhimpunan itu, Khairy Jamaluddin.
   
Najib, yang juga Menteri Kewangan, turut mengumumkan kenaikan had pinjaman kepada usahawan di bawah kendalian Mara  dan Tekun daripada RM50,000 kepada RM100,000.
   
Selain itu, beliau juga turut menaikkan had pembiayaan di bawah kendalian Mara daripada RM500,000 kepada RM1 juta.

Dalam pada itu, Najib berkata, Barisan Nasional (BN) bukan kerajaan yang meranap atau merobohkan peluang usahawan Bumiputera untuk berniaga.

Beliau berkata, kerajaan BN juga bukan kerajaan populis yang tidak bertanggungjawab, sebaliknya segala dasar yang dibuat dan dilaksanakan terhasil daripada penuh ketelitian berpandukan kepada kemampuan negara.

"Tidak seperti sesetengah pihak yang begitu senang menjanjikan bulan, bintang dan cakerawala tanpa mengambil kira kesannya. Apa nak jadi, jadi, asalkan dapat kuasa.

"Yakinlah, kerajaan tidak pekak dan bisu atau tunggul yang membatu tetapi tangkas dan tuntas menyahut cabaran dan keperluan agenda ekonomi negara," katanya.

Perhimpunan yang julung kali diadakan dan bertemakan, 'Bersama Memacu Kejayaan' dihadiri lebih 3,000 usahawan bumiputera dari seluruh negara.

Beliau juga berkata segala apa yang diaspirasikan menuntut kepada kesepaduan kerja kuat daripada semua pihak.

"Oleh itu, sebagai sebuah kerajaan, kita akan menakhoda bahtera negara dengan penuh iltizam. Kita akan bekerja keras dengan penuh bijaksana agar destinasi yang dituju dapat kita sampai dengan selamat dan sejahtera. Sesungguhnya, masa depan kita dan masa depan anak-anak kita bergantung kepada keputusan hari ini," katanya.

Najib menegaskan kerajaan hari ini adalah kerajaan yang mesra usahawan Bumiputera, bertanggungjawab, istiqamah, dan yang paling penting sentiasa menepati janji.

"Marilah kita sama-sama berganding bahu dan tangan bagi memastikan dasar yang dapat membantu usahawan Bumiputera (dilaksanakan) tetapi dapat diselamatkan, jika dalam PRU-13 nanti, kita menyokong kerajaan pimpinan BN," katanya.

Beliau berkata, ini kerana tiada kerajaan lain yang dapat membela rakyat kecuali kerajaan yang ada pada hari ini. - Bernama

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pahang
Jalan Teluk Sisek, 25100 Kuantan, Pahang Darul Makmur.
09-5142112

admin@dpmmpahang.com.my