- Laman Utama
- Umum
- Keahlian
- Aktiviti
- Info DPMM
- Direktori Ahli
- Hubungi Kami

25.04.2010

Usah sertai persatuan jika mahu projek besar


Ishak Muhammad diiringi Ab. Rahim Abu Bakar (kiri) bersalaman dengan perwakilan yang hadir di Mesyuarat Agung Tahunan kali ke 35 Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pahang di Kuantan, semalam.


KUANTAN 25 April - Kerajaan negeri menyelar sikap segelintir usahawan yang menyertai dewan perniagaan Melayu, semata-mata mahu merebut projek besar daripada kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Ishak Muhammad berkata, sikap sedemikian akan menyebabkan persatuan perniagaan Melayu tidak mempunyai fokus dalam memperjuangkan nasib peniaga kaum itu.

Beliau turut membidas sikap sesetengah usahawan yang sanggup mengheret dewan perniagaan Melayu ke mahkamah apabila gagal dalam bidang perniagaan mereka.

''Sikap sedemikian perlu dikikis jika mahu melihat dewan perniagaan Melayu setanding dengan dewan-dewan perniagaan kaum lain.

''Janganlah sampai mengheret dewan perniagaan ke mahkamah kerana ia boleh menghancurkan persatuan itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat agung Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Pahang di sini hari ini.

Pada mesyuarat agung itu, Datuk Tengku Zulkifli Ahmad dipilih sebagai Yang Dipertua DPMM Pahang yang baru selepas menang tanpa bertanding.

Tengku Zulkifli, 45, menggantikan Datuk Abdul Rahim Abu Bakar yang mengundurkan diri kerana mahu memberi tumpuan kepada urusan persatuan itu di peringkat pusat.

Ishak menegaskan, DPMM sepatutnya menjadi payung kepada persatuan-persatuan perniagaan bumiputera untuk mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan.

''Dengan kata lain, DPMM seharusnya menjadi pusat sehenti kepada persatuan-persatuan perniagaan bumiputera untuk mendapatkan bantuan tertentu," ujarnya.

DPMM juga, jelas beliau, seharusnya menjalinkan hubungan lebih akrab dengan kerajaan negeri yang sentiasa mencari jalan untuk membangunkan peniaga dan usahawan kecil Melayu.

''Kedua-dua pihak boleh memikirkan kaedah untuk meningkatkan kemahiran peniaga dan usahawan Melayu dalam bidang yang diceburi mereka," katanya.

Beliau juga menyarankan DPMM Pahang meniru pendekatan yang diamalkan oleh dewan-dewan perniagaan Cina yang berjaya memajukan masyarakat itu dalam bidang keusahawanan.

 

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pahang
Jalan Teluk Sisek, 25100 Kuantan, Pahang Darul Makmur.
09-5142112

admin@dpmmpahang.com.my