- Laman Utama
- Umum
- Keahlian
- Aktiviti
- Info DPMM
- Direktori Ahli
- Hubungi Kami

Umum

Majlis Pecah Tanah Taman Industri Minyak & Gas dan Maritim Tanjung Agas, Pekan

21 Jun 2009, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang berkenan bercemar duli bagi berangkat ke Upacara Majlis Pecah Tanah Tanjong Agas Oil & Maritime Industrial Park di Pekan sambil diiringi bersama oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak di Tanjong Agas, Pekan Pahang.

Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib berkata mengikut skala yang dibentangkan, projek bernilai RM2 bilion ini, mampu memenuhi permintaan dan keperluan aktiviti-aktiviti cari gali serta pengeluaran minyak mentah dan asli baik di Malaysia mahupun di rantau ASEAN.

Menurutnya, projek seluas 4,260 ekar di daerah Pekan ini akan menjadi  “the modern state of the art one stop centre service and offshore base” serta boleh memberi perkhidmatannya di rantau ini terutama kepada industri cari gali dan pengeluaran minyak mentah asli.

  “ Saya difahamkan Taman Industri Minyak, Gas dan Martim di Tanjung Agas berjaya mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari pelabur-pelabur asing dan tempatan untuk menempatkan operasi-operasi mereka seperti Limbungan Kapal (Shipyard), Fabrikasi (Major Fabrication), Pengkalan Bekalan (Supply Base) dan Terminal Penyimpanan Minyak (Petroleum Storage Terminal) dilakukan secara berperingkat dan mengambil masa lima hingga tujuh tahun untuk dilaksanakan sepenuhnya.
“Pencapaian yang sungguh memberangsangkan ini juga akan memberi harapan yang cerah kepada penduduk daerah ini khususnya penduduk kampung bagi menjana pendapatan melalui peluang pekerjaan dan perniagaan” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pecah Tanah Taman Industri Minyak, Gas dan Maritim Tanjung Agas.

Perdana Menteri berkata projek tersebut akan menyediakan sebanyak 30,000 peluang pekerjaan pada 10 tahun yang akan datang dan dimana 5,000 peluang akan diwujudkan dalam Fasa Pertama.

“Kerajaan mengalukan-galukan projek ini dilaksanakan, di mana ia dapat meningkatkan peluang pekerjaan dan dapat menyumbangkan sektor perkhidmatan kepada pembangunan ekonomi negara”

“ Pihak kerajaan juga telah bersetuju untuk menampung sebahagian daripada kos-kos infrastruktur di bawah Pelan Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECER) serta saya berharap pembangunan Taman Industri Minyak, Gas dan Maritim di Tanjung Agas ini akan dijalankan dengan pesat dan jayanya”

Berangkat sama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia, Tengku Mahkota Pahang, Yang Amat Mulia Tengku Muda Pahang, Amat Mulia Kerabat-Kerabat Bergelar, Turut hadir, Yang Amat Berhormat, Menteri Besar Pahang,Yang, Duta Jepun ke Malaysia, Yang Berhormat Ketua Setiausaha Negara, Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Pahang, serta Ketua-ketua Jabatan Persekutuan serta negeri Pahang.

Perdana Menteri berkata, pihak kerajaan sentiasa peka terhadap keperluan dan bantuan yang diperlukan oleh syarikat ini dan diharapkan semua jabatan serta agensi kerajaan dapat membantu dalam usaha Syarikat Tanjung Agas Supply Base & Marine Services dari segala segi permohonan bagi membolehkan ia beroperasi secepat yang mungkin.

 “ Pihak Kerajaan juga akan mempertimbangkan status Zon Perdagangan Bebas (Free Trade Zon) bagi Taman Industri Minyak, Gas Dan Maritim di Tanjung Agas ini, jika ia mencapai operasi sepenuhnya kelak dan juga tertakluk pada syarat-syarat tertentu” katanya .

KUANTAN, 26 Okt (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Pahang Tan Sri Abdul Rahim Mohamad mahu semua usahawan dan peniaga tempatan di negeri itu membuat persediaan rapi untuk menghadapi rancangan pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang akan dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Selasa ini.

Beliau berkata rancangan pembangunan kerajaan itu tidak akan memberikan sebarang makna dan manfaat kepada sesiapa jika mereka tidak bersedia untuk menghadapinya.

"Soal persediaan itu merangkumi usaha melengkapkan diri dengan pelbagai pengetahuan selain bijak mengenal pasti peluang yang boleh dimanfaatkan. Kita perlu membuat persediaan rapi, bukan sahaja di Pahang malah di Kelantan dan Terengganu supaya kita sama-sama dapat memastikan peluang yang wujud dapat dimanfaatkan sebaiknya," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau yang yakin ECER akan dapat memberi manfaat kepada seluruh rakyat, bagaimanapun berkata tanpa persediaan, sukar untuk mereka mendapat faedah daripada rancangan pembangunan itu.

Perdana Menteri akan melancarkan pelan induk ECER di Kuala Terengganu dan Kota Baharu Isnin ini dan di Kuantan pada hari berikutnya.

Pelan induk ECER yang "memberi tumpuan kepada rakyat" dan dikendalikan Petronas itu juga membuktikan peranan pihak terbabit (Petronas) dalam usaha pembangunan dalam negara.

Abdul Rahim berkata semua pihak perlu berganding bahu menjayakannya tanpa mengharapkan pewujudan pihak atau badan tertentu semata-mata untuk memantau penglibatan usahawan dan peniaga tempatan dalam rancangan pembangunan itu.

Katanya DPMMP juga akan mengadakan perbincangan dan kerjasama dengan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kelantan dan Terengganu bagi membolehkan pelaksanaan rancangan itu disertai seluruh anggota perniagaan di negeri masing-masing.

Sementara itu, Pengerusi Dewan Perniagaan Cina Pahang (DPCP) Datuk Seri Lim Seng turut menyambut baik dan menanti pelancaran ECER selain berharap ia dapat dimanfaatkan oleh semua rakyat termasuk kaum Cina.

Katanya DPCP akan menberikan kerjasama yang baik dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada usaha murni itu yang antara lain bertujuan meningkatkan ekonomi dan taraf hidup masyarakat Pantai Timur sekaligus menangani ketidakseimbangan pembangunan di negara ini.

"Kita semua sokong dan akan memberikan kerjasama...pembangunan ini juga akan memberi lebih banyak peluang kepada peniaga untuk meluaskan bidang perniagaan masing-masing," katanya.

Beliau berkata keaanggotaan DPCP kini kira-kira 20,000 ahli dan kebanyakan usahawan dan peniaga Cina di negeri Pahang terlibat dalam sektor perkayuan, pertanian dan perniagaan makanan.

Sementara itu, bagi Pengerusi Dewan Perniagaan India Pahang (DPIP) A. Paulsamy pula, ECER diyakini mampu meluaskan skop perniagaan tradisi kaum itu seperti perniagaan runcit, kain, buku, surat khabar kepada bidang yang lebih besar.

Biarpun pada masa ini, penyertaan kaum India di negeri itu dalam bidang lain terutama peladangan kelapa sawit, pembinaan jalan dan bangunan serta pengilangan sudah semakin baik, namun ia akan lebih maju jika banyak peluang baru diperoleh menerusi ECER.

Menurutnya DPIP memang sentiasa menggalakkan peniaga kaum India merebut peluang yang ada untuk memajukan diri terutama dalam bidang perniagaan kerana ia merupakan cara terbaik untuk memperbaiki kedudukan ekonomi dan menangani kemiskinan.

"Kita memang setuju dengan ECER, dan kita yakin kaum India di sini juga akan lebih maju dan gembira dengan peluang-peluang yang terdapat dalam rancangan pembangunan itu," katanya.

Paulsamy berkata terdapat seramai 150 anggota DPIP di seluruh negeri itu dan dianggarkan seramai 30 orang terlibat dalam bidang pembinaan dan peladangan kelapa sawit.

ECER yang akan dilancarkan itu nanti bertujuan menambah pendapatan hampir empat juta orang, yang mewakili 15 peratus daripada keseluruhan penduduk Pahang, bakal mewujudkan 560,000 pekerjaan baru dan menarik pelaburan berjumlah RM112 bilion dalam tempoh 12 tahun akan datang.

ECER yang berhubung kait dengan hasrat membasmi kemiskinan dan membina modal insan seperti yang dinyatakan Perdana Menteri, merangkumi Terengganu, Kelantan, Pahang dan daerah Mersing di Johor, yang meliputi kira-kira 51 peratus daripada keseluruhan keluasan tanah di Semenanjung Malaysia.

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pahang
Jalan Teluk Sisek, 25100 Kuantan, Pahang Darul Makmur.
09-5142112