20. June 2017 · Comments Off on PERUTUSAN SELAMAT HARI RAYA YDP DEWAN PERNIAGAAN MELAYU MALAYSIA PAHANG · Categories: Berita


Saudara Muslimin dan Muslimat, Ahli-Ahli DPMM Pahang yang dirahmati Allah, Bersamalah kita memanjatkan kesyukuran kehadrat Allah atas limpah rahmat dan kurniaan-Nya untuk kita menyambut Idul Fitri 1438 Hijriah bersamaan 25 Jun 2017 ini dalam suasana aman dan sejahtera. In Sya Allah.

Bersempena dengan hari yang mulia ini, saya ingin mengucapkan Idul Fitri kepada seluruh Muslimin dan Muslimat khasnya kepada semua ahli serta warga kerja DPMM Pahang, dan seluruh rakyat Pahang amnya.

Di dalam kemeriahan menyambut Idul Fitri, jangan kita lupa sedekahkan Al-Fatihah kepada para pejuang serta pemimpin Agama, Bangsa dan Negara amnya, dan bekas pemimpin DPMM Pahang khasnya yang telah pergi meninggalkan kita semua. Marilah kita sama-sama mendoakan agar Negara kita Malaysia sentiasa aman dan ekonomi Negara terus berkembang pesat seiring dengan kemajuan Negara.

Idul Fitri yang kita rayakan pada hari ini merupakan tanda kemenangan umat Islam setelah berjaya menunaikan ibadah puasa selama sebulan bukan saja sekadar menahan diri daripada dahaga dan lapar tetapi mentarbiahkan diri dengan mengerjakan amal ibadah sepanjang bulan Ramadan sebagai kewajipan seorang muslim. Justeru itu, sambutan Idul Fitri membawa pengertian kebersihan jiwa dan kesucian hati serta kesegaran tubuh serta minda. Dengan memiliki jiwa dan hati yang suci murni, Umat Islam dapat berkumpul beramai-ramai, menziarah sanak saudara, sambil menghulurkan tangan sebagai tanda bermaaf-maafan antara satu sama lain dalam suasana penuh harmoni dan persaudaraan.

Sesuai dengan kehidupan kita rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama, marilah kita merayakan hari yang mulia ini dengan penuh semangat muhibah dan persaudaraan. Seperti juga musim-musim perayaan yang lain, Idul Fitri merupakan kesempatan terbaik untuk kita mengeratkan tali silaturrahim dan persefahaman antara satu sama lain.

Demi memastikan sambutan Hari Raya ini dapat dirayakan dalam suasana penuh kemeriahan dan kegembiraan, bagi yang ingin pulang ke kampong halamam untuk berhari raya, berhati-hatilah di jalan raya. Patuhilah peraturan jalan raya dan ingatlah orang yang tersayang.

Akhir sekali, saya Yang DiPertua dengan seikhlas hati semurni kasih mewakili DPMM Pahang mengucapkan
“SELAMAT IDUL FITRI”

Ikhlas,

Ybhg.Sdr. Yusri Yusof
Yang Dipertua DPMM Pahang

 

Comments closed