Pengenalan

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) telah ditubuhkan pada tahun 1957 di atas nama “Gabungan Dewan-Dewan Perniagaan Melayu Malaya”. Ekoran dari penstrukturan semula pada tahun 1974, namanya telah ditukar kepada “Dewan Perniagaan dan Industri Melayu Malaysia” ekoran dari penstrukturan semula yang dilaksanakan pada tahun 1992.

Penubuhan Dewan-Dewan Perniagaan Melayu di Peringkat Negeri.

Usaha terawal untuk mewujudkan persatuan perniagaan di negeri telah dipelopori oleh peniaga-peniaga Melayu di Kelantan pada tahun 1938 dengan penubuhan Dewan Perniagaan Melayu Kelantan dalam tahun berkenaan.

Langkah yang dirintis oleh Dewan Perniagaan Melayu Kelantan kemudiannya telah diikuti oleh lain-lain negeri. Penubuhan Dewan-dewan Perniagaan di peringkat negeri mengikut turutan adalah seperti berikut:

Dewan Perniagaan Melayu Kelantan                         – 1938

Dewan Perniagaan Melayu Perak                              – 1951

Dewan Perniagaan Melayu Johor                              – 1952

Dewan Perniagaan Melayu Selangor                         – 1953

Dewan Perniagaan Melayu Terengganu                    – 1953

Dewan Perniagaan Melayu Kedah                             – 1956

Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang                  – 1959

Dewan Perniagaan Melayu Negeri Sembilan            – 1960

Dewan Perniagaan Melayu Perlis                              – 1963

Dewan Perniagaan Melayu Melaka                           – 1963

Dewan Perniagaan Melayu Pahang                           – 1972

Dewan Cawangan Wilayah Persekutuan                   – 1975

Penubuhan Gabongan Dewan-Dewan Perniagaan Melayu Se-Malaya

Lanjutan daripada penubuhan Dewan-dewan Perniagaan Melayu di peringkat negeri (yang masing-masing berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan Negeri), satu badan induk yang diberi nama Gabongan Dewan-dewan Perniagaan Melayu Se Malaya (GDPMM) ditubuhkan pada tahun 1956.

Menurut Penolong Pendaftar Pertubuhan Malaysia, penubuhan GDPMM ini bertujuan mewujudkan satu pertubuhan di peringkat kebangsaan yang lebih kukuh bagi menyatukan Dewan-dewan Perniagaan Melayu di peringkat negeri.

Di antara individu yang bertanggungjawab di dalam pembentukan GDPMM ini adalah Datuk Mahmood Ambak (Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Perak); Haji Nik Hassan Nik Yahya (Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Kelantan) dan Datuk Raja Nasron (Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Selangor).

GDPMM ditubuhkan mengikut undang-undang Pertubuhan 1949. Ia didaftarkan di bawah Pendaftar Pertubuhan Malaysia dan penubuhannya diluluskan secara rasmi pada 11 Julai 1957 dengan nombor pendaftaran “1101 Selangor”.

GDPMM mempunyai matlamatnya sendiri dan sepertimana yang tercatit di dalam perlembagaannya, penubuhannya adalah untuk:

….sekalian Dewan-dewan Perniagaan Melayu di Malaya supaya bekerjasama bagi memenuhi segala lapangan perniagaan dan mempertahankan segala hak-hak dan faedah-faedah dalam lapangan aneka perniagaan dan membantu perusahaan-perusahaan pertanian, pelombong-pelombong aneka galian-galian hasil bumi, pertukangan dan pengeluaran- pengeluaran perusahaan kerajinan tempatan dan pengangkutan, penjualan-penjualan serta lainnya dalam negara atau di luar negara Malaya. (sumber: Undang-undang Gabongan Dewan-dewan Perniagaan Melayu Se Malaya, 26 April 1956, lampiran 2).

Ketika itu GDPMM dianggotai oleh Dewan Perniagaan Melayu Kelantan; Dewan Perniagaan Melayu Perak; Dewan Perniagaan Melayu Johor dan Dewan Perniagaan Melayu Selangor.

Dewan-dewan Perniagaan Melayu negeri ini masih menggunakan Perlembagan Dewan negeri masing-masing dan cuma bergabung untuk menjalankan aktiviti di peringkat “Pusat” sahaja.

Halatuju dan Perjuangan GDPMM

Matlamat penubuhan dan perjuangan GDPMM adalah selaras dengan bidang dan sektor ekonomi yang diceburi oleh peniaga-peniaga Melayu pada masa itu iaitu bidang pertanian, perlombongan, pertukangan dan pengangkutan.

Fungsi utamanya adalah sebagai menyediakan apa jua bentuk perkhidmatan yang berkaitan dengan perniagaan yang boleh memberi manfaat dan faedah kepada ahli-ahlinya.
Salah satu perkhidmatan yang diberikan ialah “khidmat khas” untuk ahli-ahlinya iaitu menjadi orang tengah atau wakil bagi pihak ahli untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul di antara ahli dengan pihak-pihak yang berkaitan.

Dalam konteks ini, tindakan yang diambil oleh GDPMM ialah menyokong permohonan untuk keperluan ahli-ahlinya seperti mendapatkan permit, lesen, kerja-kerja kontrak, pesanan dan pinjaman kewangan.

Dengan kegigihan pemimpin-pemimpin serta kerjasama daripada ahli-ahlinya, GDPMM telah berjaya menganjurkan Kongres Ekonomi Bumiputera pada tahun 1965 yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Di antara pemimpin GDPMM yang memainkan peranan penting dalam kongres tersebut adalah Datuk Raja Khalid Raja Harun yang bertindak sebagai salah seorang Ahli Jawatankuasa Perniagaan dan Perdagangan.

Antara usul-usul serta resolusi yang telah dikemukakan menyentuh tentang kelemahan (RIDA), di mana aktivitinya hanya terhad kepada usaha-usaha pembangunan ekonomi orang Melayu di kawasan luar bandar sahaja.

Lanjutan daripada itu, kerajaan telah meneliti kembali organisasi RIDA dan kemudian menubuhkan Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada tahun 1966 bagi menggantikan RIDA yang ditubuhkan pada tahun 1956.

Keahlian GDPMM

Keahlian GDPMM adalah terbuka kepada semua Dewan Perniagaan Se Malaya atau Dewan Perniagaan Orang Melayu di Asia yang terdapat di negeri-negeri atau kawasan Negeri Selat dan jajahan Singapura. Ahli GDPMM dikenakan yuran penyertaan sebanyak $100 seorang dan yuran tahunan sebanyak $120 setahun.

GDPMM telah berjaya menarik semua Dewan-dewan negeri, termasuk Dewan Perniagaan Melayu Singapura, untuk bergabung dengannya. Pada tahun 1970, jumlah peniaga Melayu yang mendaftar menjadi ahlinya adalah seramai 217,631 orang.

Penubuhan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Malaysia

Pada tahun 1974, nama GDPMM ditukar kepada Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Malaysia (DPPMM) dan perlembagaannya juga turut diubah, disusun semula dan dikemaskinikan.

Pertukaran GDPMM kepada DPPMM dibuat apabila Perlembagaan GDPMM yang dipinda pada tahun 1968 digubal semula pada tahun 1973. Ini adalah cetusan idea YM Tengku Razaleigh Hamzah selaku Yang Di-Pertua GDPMM semasa Mesyuarat Agung Tahunan GDPMM pada tahun 1972.

Beliau inginkan sebuah badan yang benar-benar kukuh dan dapat mewakili peniaga-peniaga Melayu dalam menghadapi persaingan yang hebat dengan penaiga-peniaga asing.
Tengku Razalaeigh berpendapat, walaupun tiap-tiap negeri telahpun mempunyai Dewan Perniagaan Melayu masing-masing, tetapi tidak ada perkembangan dan perhubungan yang erat di antara satu negeri dengan negeri yang lain.

Lanjutan daripada itu, satu Mesyuarat Agung Tergempar GDPMM telah diadakan pada 17 Ogos 1973 di mana persetujuan telah dicapai supaya Perlembagaan GDPMM yang diluluskan pada 26 September 1968 dibubarkan. Sebagai gantinya, Perlembagaan DPPMM yang akan dibentuk itu diterimapakai.

Pertukaran nama dari “Gabongan” kepada “Dewan” ini juga dibuat bagi menunjukkan bahawa DPPMM bukan lagi satu gabungan yang terdiri daripada Dewan-dewan negeri, tetapi adalah sebuah “Dewan Pusat” yang mempunyai cawangan di setiap negeri.

Penambahan perkataan “Perusahaan” itu pula kerana matlamat perjuangan Dewan kini bukan sahaja terbatas dalam bidang perniagaan semata-mata, tetapi meliputi juga bidang perusahaan.

Ini termasuk semua jenis dan peringkat urusan sektor ekonomi yang berkaitan dengan perusahaan seperti perusahaan berasaskan bahan-bahan mentah, pembinaan, makanan dan sebagainya.

Konsep “perusahaan” ini adalah penting supaya peranan dan perjuangan Dewan ini selaras dengan matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) – untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam bidang perniagaan dan perusahaan.

Pertukaran nama baru ini telah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia pada 11 Februari 1974. Kelulusan ini diberi mengikut Fasal 11 Akta Pertubuhan Malaysia.

Perbezaan di antara GDPMM dan DPPMM

Perbezaan di antara GDPMM dan DPPMM adalah dari segi peruntukan Perlembagaan yang berkaitan dengan kuasa Dewan Pusat sahaja.

Di bawah GDPMM, semua Dewan-dewan negeri adalah bebas menggunakan perlembagaan masing-masing dan GDPMM sebagai badan induk tiada hak untuk campur tangan dalam hal ehwal Dewan negeri masing-masing.

Di bawah DPPMM pula, Dewan-dewan negeri yang kini menjadi “dewan cawangan” kepada DPPMM adalah tertakluk kepada Perlembagaan DPPMM. Melalui kuasa yang diperuntukan oleh Perlembagaan kepada Jawatankuasa Agung, DPPMM berhak untuk campurtangan dalam hal ehwal Dewan-dewan cawangannya.

Halatuju dan Perjuangan DPPMM

DPPMM masih meneruskan usaha-usaha ke arah memaju dan meningkatkan penyertaan usahawan Melayu dalam perniagaan dan perindustrian dengan menganjurkan pelbagai aktiviti seperti majlis perjumpaan, dialog, ceramah, kursus, seminar dan aktiviti lain berkaitan dengan perniagaan.

Menerusi Jawatankuasa-jawatankuasa Kecil yang ditubuhkan, DPMM telah mengadakan kerjasama dengan badan-badan dan agensi-agensi kerajaan serta swasta dalam merangka pelbagai program untuk kepentingan dan kebajikan usahawan Melayu yang menjadi ahlinya.
DPPMM, di bawah kepimpinan Yang DiPertuanya ketika itu Senator Kamarul Ariffin, telah berjaya menganjurkan Kongres Ekonomi Bumiputera Kedua (KEB2) dengan kerjasama UMNO Malaysia yang berlangsung dari 29 Mei hingga 1 Jun 1980.

Keahlian DPPMM

Mengikut Perlembagaan DPPMM yang telah dipinda pada tahun 1983, di bawah Fasal 5 keahlian DPPMM terbahagi kepada 3 kategori:

Ahli Biasa

Ahli Bersekutu

Ahli Bergabung

Kemasukan persatuan dan pertubuhan peniaga Melayu sebagai Ahli Bergabung telah dipersetujui dalam Mesyuarat Agung Khas DPPMM yang diadakan pada 21 Oktober 1978.

Penerimaan Ahli Bergabung ini kemudiannya diluluskan oleh Pejabat Pendaftar Pertubuhan Malaysia pada 26 April 1979. Ahli Bergabung ini terdiri daripada persatuan dan Dewan-dewan Perniagaan setiap negeri di Semenanjung Malaysia.Berbeza dengan Dewan-dewan cawangan DPPMM, persatuan-persatuan dan Dewan-dewan gabungan ini masing-masing mempunyai perlembagaan dan ahli jawatankuasanya sendiri.

Penubuhan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia

DPPMM sekali lagi melalui perubahan struktur dari segi pertukaran nama dan pindaan perlembagaan  pada tahun 1994, di bawah kepimpinan tokoh korporat pertama Tan Sri Azmi Wan Hamzah.

Pertukaran nama dan pindaan perlembagaan itu telah diterima dengan sebulat suara semasa Mesyuarat Agung Luarbiasa pada 31 Mac 1994. Perlembagaan dan Perintah Peraturan baru ini telah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia pada 13 mei 1994 dan berkuatkuasa pada tarikh yang sama.

Di bawah Perlembagaan baru ini nama DPPMM ditukar kepada Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM). Perkataan “Perusahaan” telah digugurkan kerana perkataan “Perniagaan” itu bermakna perniagaan, perdagangan dan perindustrian, atau salah satu daripadanya.
Tempoh penggal pemilihan dan perlantikan jawatan di dalam Dewan-dewan negeri telah diselaraskan dengan Dewan Pusat iaitu semua jawatan yang dipilih dan dilantik akan dipegang selama tempoh satu penggal atau 3 tahun berturut-turut. Berbanding sebelum ini, tempoh penggal selama 2 tahun yang diamalkan oleh Dewan-dewan negeri.

Ibupejabat DPMM Pusat adalah di Kuala Lumpur dan mempunyai 14 cawangan di setiap negeri termasuk Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah, kecuali di Sarawak.

Halatuju dan Perjuangan DPMM

DPMM terus memperjuangkan misi mengangkat maruah dan martabat bangsa Melayu dalam ekonomi negara dan antarabangsa. Imej, peranan dan keberkesanannya semakin diakui oleh pemimpin negara. DPMM juga turut diminta membantu kerajaan terutamanya dalam isu-isu yang menyentuh kepentingan masyarakat pengusaha dan peniaga Melayu.

DPMM telah diberi kepercayaan untuk menjadi sekretariat yang memandu dan memantau ekonomi Melayu dengan tertubuhnya Sekretariat Agenda Ekonomi Melayu (SAEM).

Di samping itu, DPMM juga telah bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan untuk menganjur Kongres Ekonomi Bumiputera Keempat (KEB4) pada 10 dan 11 September 1999.

Selain daripada itu, hasil perjuangan berterusan DPMM ialah membela nasib usahawan Melayu yang terjejas akibat kemelesetan dan kegawatan ekonomi Malaysia. Maka lahirlah Tabung Pemulihan Usahawan (TPU) dan Tabung Projek Usahawan Bumiputera (TPUB) lanjutan daripada memorandum DPMM kepada pemimpin negara.

(Sumber maklumat daripada DPMM Negeri Kedah Darul Aman)

SEJARAH PENUBUHAN DEWAN PERNIAGAAN MELAYU MALAYSIA NEGERI PAHANG

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Pahang merupakan sebuah organisasi bukantelah didaftarkan pada  1hb Jun 1974 di pejabat Associated Malays Chamber of       Commerce of Malaysia, No. 40 Jalan Kemuning, Imbi Road, Kuala Lumpur di bawah akta pertubuhan 1996 dengan no pendaftaran No. 17, in R of S 19/15 ARS/ Sel/ 53/5         Registration No. 1101 (Selangor) / PPM 196/56 (37) (Pahang) sebagai salah satu cawangan kepada DPMM. Sehingga kini DPMM Pahang telah menjangkau usia ke 39 tahun.

DPMM Negeri Pahang bermula operasi di alamat, Tingkat 3, Bangunan UMNO, Jalan Bank, 25000 Kuantan. Pada tahun 1993, DPMM Negeri Pahang telah berpindah ke bangunannya sendiri iaitu di A-81, DPMM Negeri Pahang,            Jalan Teluk Sisek, P.O. Box. 285, 25730 Kuantan. No. Telefon : 09-5142112 No. Faksimili : 09-5132018 Email: dpmmphg@gmail.com manakala laman web : http://www.dpmmpahang.com.my.

DPMM Negeri Pahang mempunyai keahlian seramai 942 orang yang meliputi seluruh daerah dalam Negeri Pahang dan ahli-ahli ini mempunyai perniagaan masing-masing dalam pelbagai bidang antaranya Kontraktor, Sektor IKS dan Pembuatan, Sektor Perkilangan, Perniagaan Runcit, Pembekal barang-barang Hardware, Pembekal Alat jentera mahupun kenderaan, Servis Komputer, Vendor Petronas, dan macam –macam lagi.

VISI

Penggerak Utama Ke Arah Memperkasakan Komuniti Usahawan Melayu Negeri Pahang

MISI

  1. Sebuah Organisasi Yang Berjuang Untuk Menyatupadukan Usahawan Melayu Untuk Kepentingan Dan Faedah Ekonomi Orang Melayu
  2. Mengadakan perhubungan atau kerjasama dengan lain-lain badan atau pertubuhan yang mempunyai tujuan yang sama dengan DPMM
  3. Membantu mewujudkan rangkaian perniagaan di antara ahli-ahli DPMM Negeri Pahang dengan ahli-ahli DPMM Negeri lain dengan memberi keutamaan pengagihan peluang kepada ahli-ahli DPMM
    1. Menubuhkan dan mewujudkan satu pertubuhan perniagaan Melayu di peringkat       kebangsaan dan negeri untuk kepentingan dan faedah Melayu di lapangan perniagaan  dan ikhtisas.
    2. Menyatupadukan peniaga dan iktisas Melayu untuk kepentingan dan faedah ekonomi Melayu.
    3. Mempastikan terjaminnya kepentingan ahli di dalam undang-undang yang digubal atau dipinda di Malaysia yang berkaitan dengan perdagangan dan perniagaan.
    4. Membantu atau mewakili ahli di dalam perbincangan berkenaan perdagangan dan perniagaan.
    5. Menubuhkan tabung-tabung biasiswa, amanah dan lain-lain untuk kebajikan ahli.  Atas budibicara jawatankuasa Agung Tabung, tabung ini juga boleh di gunakan untuk membantu ahli-ahli pertubuhan, perbadanan atau  persatuan Bumiputera.
    6. Mengeluarkan Sijil Tempahan Asal (Certificate of Origin) atau lain-lain sijil ke atas barangan yang di eksport dari Malaysia.
    7. Membuat perhubungan atau kerjasama dengan lain-lain badan atau pertubuhan yang mempunyai tujuan yang  sama dengan Dewan di dalam atau di luar negara.
    8. Membeli, menjual, menggadai memajak memiliki, menyewa, menukar hakmilik, menyerah, memaju dan  membuat lain-lain urusan yang bersangkutan dengan tanah, saham dan lain-lain harta.
    9. Membina di atas tanah kepunyaan Dewan, bangunan untuk kegunaan atau kepentingan Dewan.
    10. Menjalankan sebarang pekerjaan atau apa jua langkah selain daripada perkara di atas bagi kesempurnaan  perjalanan Dewan.
    11. Menjalankan penyelidikan dalam kesemua masalah, untuk memajukan dan mencadangkan kaedah tindakan dan prosedur yang perlu atau berfaedah untuk kesemua atau salah satu daripada asas dan tujuan Dewan.

PERANAN DEWAN KEPADA AHLI 

  1. Mengadakan suasana yang kondusif bagi menggalakkan peniaga-peniaga Melayu  menjadi ahli  Dewan dan Persatuan Gabungan.
  2. Mengadakan aktiviti-aktiviti untuk faedah ahli.
  3. Mewujud, membuka atau memberikan peluang-peluang perniagaan kepada ahli-ahli dari segi pengetahuan teknikal, kemahiran pengurusan dan pemasaran.
  4. Menggalakkan kewujudan satu tenaga bersepadu (cohesive force) di antara ahli-ahli di dalam bidang-bidang perniagaan mereka.
  5. Mewujudkan satu kumpulan pengusaha-pengusaha dan peniaga-peniaga Bumiputera yang bertahap tinggi dan profesional.
  6. Memperjuangkan hak mutlak ahli-ahli dalam bidang perniagaan berasaskan konsep”Fair Trade” (Seperti disegi undang-undang dan lain-lain).
  7. Memainkan peranan sebagai perantara, jurucakap dan penasihat bagi pihak ahli-ahli.
  8. Menyediakan kemudahan khidmat nasihat kepada ahli-ahli.
  9. Menyatupadukan peniaga-peniaga Bumiputera melalui Dewan dan mewujudkan semangat  kesetiaan di dalam kesatuan.
  10. Menyediakan satu pusat sumber Maklumat Perniagaan dan Perindustrian.
  11. Merancang dan melaksanakan aktiviti penghasilan kewangan (Fund Generating) secara berterusan ke arah memperkukuhkan kewangan dewan.
  12. Menyediakan satu Organisasi sekretariat yang mempunyai tenaga kerja mencukupi, mahir, cekap dan berdedikasi untuk melaksanakan peranan dan tanggungjawab.

PERANAN DEWAN SECARA UMUM 

KEMUDAHAN DAN PERKHIDMATAN DEWAN UNTUK AHLI

  1. Penyewaan peralatan dan kelengkapan dengan bayaran yang berpatutan.
    1. Mesin Photostat
    2. Bilik Mesyuarat yang boleh memuatkan 15 – 20 orang
    3. Dewan Seminar yang boleh memuatkan 80 – 100 orang peserta.
    4. Kemudahan Internet
  1. Mengeluarkan surat-surat sokongan kepada ahli-ahli perniagaan yang memerlukannya.
  2. Lain-lain perkhidmatan:-

i.          Menyebar dan mempamirkan maklumat tender sebutharga dari agensi-agensi Kerajaan dan swasta.

ii.         Menyebarkan dan mempamirkan maklumat dan peluang perniagaan kepada Bumiputera untuk menjadi pembekal, pengedar, peruncit, Francais serta export/ import dan lain-lain.

iii.        Menyampaikan maklumat dan peluang-peluang untuk menyertai pameran dagang dan lawatan keluar negeri yang dianjurkan oleh agensi-agensi Kerajaan dan swasta.

iv.        Memaklumkan maklumat dan peluang-peluang  untuk menyertai kursus -kursus profesional, kemahiran, pengurusan dan lain-lain yang berkaitan dengan perusahaan , perniagaan dan perkilangan.

v.         Memberitahu kepada ahli berkenaan peluang-peluang untuk menyertai kursus, seminar, dialog, simposium ceramah dan lain-lain yang boleh meningkatkan pengetahuan  dalam bidang perniagaan .

iv.        Dewan juga telah membuka cawangannya di setiap daerah di Negeri Pahang.

PERKEMBANGAN

  1. Menyediakan kemudahan
    1. Dewan Seminar, Bilik Mesyuarat, Pusat Internet, Bilik Perbincangan.
    2. Aktiviti

–          Kursus, seminar dan latihan

–          Khidmat nasihat

–          Sokongan & perantaraan